KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Wednesday, August 5, 2009

SUDAH BERUSAHA TETAPI TIDAK BERJAYA JUGA. KENAPA?

PEPERIKSAAN semakin hampir, masa bergerak dan berlalu begitu pantas sekali. Ada pelajar yang sedar akan hambatan masa ini dan ada juga pelajar yang masih lena dibuai mimpi-mimpi indah ciptaan mereka sendiri. Bagi mereka yang sedar bahawa peperiksaan semakin hampir, syukur alhamdulillah. Diharap kepada pelajar yang masih tidur lena cepat-cepatlah sedarkan diri agar anda tidak ketinggalan dan tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yang mendapat kerugian.

Sudah menjadi lumrah dan kebiasaannya, berdasarkan pengalaman-pengalaman yang telah KAM sendiri alami, apabila tibanya dan hampir kepada hari peperiksaan, maka debaran dengutan jantung semakin kencang. Malah keresahan juga menghantui diri. Maka timbullah persoalan-persoalan dibenak fikiran seperti apa yang harus aku lakukan ? Adakah aku sudah betul-betul bersedia untuk menghadapi peperiksaan akan datang ? Selain itu, ada juga yang bertanya pada diri sendiri, mengapa aku tidak cemerlang sepertimana kawan-kawan yang lain. KAM rasa persoalan-persoalan begini sedang berlegar-legar difikiran pelajar-pelajar sekalian.

Berkaitan tajuk yang dibincangkan pada hari ini, KAM tertarik untuk berkongsi dengan pelajar-pelajar sekalian berhubung dengan pertanyaan daripada adik Fatin Atiqah pada ruangan komentar di laman ini. Pertanyaan beliau ialah :

  • Saya nak tanya, macam mana nak buat agar lebih cemerlang dalam peperiksaan. Apa yang diberitahu telah saya lakukan tetapi tidak berjaya juga ?
  • Saya dan kawan selalu berusaha sama-sama dalam pelajaran, tetapi mengapa kawan saya selalu dapat apa yang dia nak tetapi saya tak dapat ? Contohnya dia dapat 3A dalam peperiksaan baru-baru ini tetapi saya tidak dapat. Apa salah saya ustaz ?

Baiklah…Di sini terdapat beberapa pandangan yang KAM dapat kongsikan berhubung dengan pertanyaan adik Fatin Atiqah di atas. Antaranya ialah :

Hendaklah selalu muhasabah diri

Muhasabah diri di sini bermaksud anda hendaklah mengkaji dan mencari KELEBIHAN dan KELEMAHAN diri. Cuba anda senaraikan di dalam buku catatan apakah kelebihan dan kelemahan diri anda. Maka di situlah anda akan dapat mengetahui siapa diri anda sebenarnya. Apabila anda mengetahui dan menemui keduanya, maka tanggungjawab anda seterusnya ialah menggunakan sebaik mungkin kelebihan-kelebihan yang di anugerah oleh Allah SWT pada diri anda. Dan anda juga hendaklah berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri anda.

Setiap manusia ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Semuanya itu adalah ketentuan Allah SWT. Kelebihan dan kelemahan manusia pula adalah berbeza-beza antara satu sama lain. Sebagai contoh, ada pelajar masa mengulangkaji pelajaran adalah pada waktu tengahari atau waktu petang. Pada waktu ini dia dapat menumpukan sepenuhnya pelajaran dengan berkesan. Manakala ada juga pelajar, masa mengulangkaji yang berkesan pada waktu pagi iaitu sebelum waktu subuh. Walaupun kita lakukan semua tips-tips dan teknik belajar yang berkesan sepenuhnya tetapi masih lagi tidak cemerlang, kenapa ? Mungkin masa kita mengulangkaji pelajaran itu tidak sesuai. Maka KAM harap anda dapat mencari masa yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran bagi diri anda. Insyaallah anda akan mendapat cemerlang sepertimana orang lain dapat.

Hendaklah selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT

Kita hendaklah selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Terutamanya mendirikan solat lima waktu. Jangan kita abaikan. Selalulah berdoa kepadaNYA memohon agar diberi kemudahan dan dihindari segala kesulitan dalam hidup. Apabila diri kita sentiasa dekat dengan Allah SWT, maka segala permohonan dan rayuan kita akan cepat dimakbulkan oleh Allah SWT. Selain itu juga, hati kita menjadi tenang dan suci daripada segala dosa yang mungkin menjadi penghalang untuk kita meraih kejayaan.

Ujian Allah SWT

Jangan kita lupa, setiap apa yang berlaku ke atas diri kita adalah ujian daripada Allah SWT. Di dalam kehidpan manusia pasti akan menghadapi pelbagai cabaran, dugaan dan liku-liku hidup umpama roda yang berputar. Adakalanya kita berada megah di atas dan ada kalanya kita berduka di bawah. Kedua-duanya adalah merupakan ujian Allah SWT bagi kita sebagai hambaNYA di muka bumi ini. Bertujuan untuk mengenalpasti siapakah di antara kita yang paling berkualiti amalnya menerusi cara-cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud :

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Apa yang adik Fatin hadapi sekarang ini adalah ujian daripada Allah SWT. Anggaplah ujian ini sebagai motivasi kepada diri kita agar lebih berusaha dengan gigih lagi untuk mencapai kejayaan cemerlang.

Ketentuan Allah SWT

Selain itu, jangan kita lupa pada rukun iman yang ke 6 iaitu percaya kepada qada’ dan qadar Allah SWT. Segala yang berlaku ke atas diri kita sebenarnya adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun kita selalu berusaha bersama-sama dalam pelajaran, tetapi mengapa kawan kita selalu dapat apa yang dia nak tetapi kita tak dapat… Ini semua sudah tercatat pada ketentuan Ilahi. DIA yang Maha Berkuasa segala-galanya. Apabila kita yakun dengan ketentuan ini, maka hati kita menjadi tenang dan redha serta bersyukur di atas segala pemberian Allah SWT.

Akhir kalam, KAM percaya masih ada masa lagi untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri. Satu hal yang paling penting bagi anda ialah sentiasa BERDOA + BERUSAHA + BERIKHTIAR + BERTAWAKKAL. Insyaallah anda akan berjaya dan CEMERLANG di dalam peperiksaan nanti. YAKIN pada diri sendiri. Insyaallah anda akan menjadi seorang pelajar yang HEBAT !!!! Wallahu A’lam.

Monday, August 3, 2009

3 PERKARA UNTUK MENDAPAT 3 PERKARA

Barangsiapa yang diilhamkan tiga perkara, maka dia akan mendapat tiga perkara:

  1. orang yang diilhamkan untuk berdoa, ianya akan dikabulkan
  2. orang yang ditunjukkan untuk istighfar, dia akan diampunkan
  3. orang yang dianugerahi petunjuk untuk bersyukur, dia akan memperolehi tambahan rezeki.