KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Tuesday, July 21, 2009

PENILAIAN BARU KE ASRAMA PENUH DILAKSANAKAN 2015

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dijangka memperkenalkan Sistem Pentafsiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) pada 2015 bagi memilih murid cemerlang ke asrama penuh.


Menerusi sistem itu, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam tidak lagi menjadi ukuran mutlak menentukan murid cemerlang memasuki asrama penuh.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Ruslan Madon yang mendedahkan perkara itu, berkata kriteria untuk melayakkan seseorang pelajar memasuki asrama akan diukur berdasarkan tahap pencapaian akademik murid sepanjang enam tahun di sekolah rendah.

Katanya, berpandukan SPPK, 30 peratus daripada kelayakan untuk memohon ke asrama akan bergantung kepada keputusan UPSR manakala 70 peratus lagi berdasarkan prestasi akademik pelajar sepanjang enam tahun persekolahan.

Beliau berkata, pada tahun terakhir persekolahan, prestasi akademik pelajar yang dikumpul sejak Tahun Satu sehingga Tahun Enam akan dinilai oleh sekolah lalu digabungkan dengan keputusan UPSR untuk dipertimbangkan sama ada layak atau tidak untuk memasuki sekolah asrama penuh.

“SPPK dilihat akan dapat mengurangkan tekanan yang ditanggung murid yang selama ini perlu mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR jika hendak memasuki sekolah berasrama.

“Walaupun begitu, SPPK tetap mengutamakan keputusan UPSR yang cemerlang bagi melayakkan pelajar memohon memasuki asrama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ruslan mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim yang mahu UPSR dimansuhkan kerana dianggap tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara.

Razali berkata, UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik pelajar.

Ketika ini, SPPK sedang dilaksanakan di 500 sekolah terpilih yang menjadi perintis pelaksanaan projek transformasi pendidikan kebangsaan.

Ruslan berkata, MGBM turut mencadangkan kepada kementerian supaya mencontohi Mara dalam mengendalikan urusan pengambilan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Katanya, kaedah diamalkan Mara yang menuntut pelajar membuat permohonan untuk memasuki MRSM dilihat mampu memudahkan urusan memilih pelajar memasuki sekolah berasrama penuh.


Sumber: Berita Harian

No comments: