KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH
Showing posts with label BAHAGIAN A. Show all posts
Showing posts with label BAHAGIAN A. Show all posts

Monday, July 18, 2011

KAEDAH ONLINE PERIKSA KESIHATAN


klinik-bergerak2

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem online bagi pemeriksaan kesihatan pemohon Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV)



bagi mengelak kes pemalsuan dokumen membabitkan pihak ketiga.
Sistem dibangunkan sejak dua tahun lalu kini pada peringkat penelitian Kementerian Pengangkutan yang mendapat garis panduan daripada Kementerian Kesihatan.
Menerusi sistem diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan sejak tahun lalu itu, doktor yang memeriksa pemohon GDL dan PSV akan menyerahkan maklumat kesihatan terus kepada Jabatan Pengangkutan Jalan secara online tanpa melalui orang ketiga.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan memandang serius kepentingan pemeriksaan kesihatan bagi pemandu pengangkutan awam demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan kini bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan sistem lebih berkesan.
Katanya, doktor yang memalsukan dokumen bukan saja tidak mematuhi etika kedoktoran, malah boleh dikenakan tindakan tegas Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kes yang dilaporkan tidak membabitkan doktor, sebaliknya pihak ketiga sama ada yang bertugas di klinik atau pihak luar.
Katanya, kebanyakan kes memalsukan dokumen dilakukan pemandu sendiri tetapi Kementerian tidak mahu buat tuduhan melulu dan kita akan meneliti kes ini. Dulu ada dakwaan seperti ini, apabila disiasat, ia didapati bukan doktor tetapi pemandu yang memalsukan dokumen. Beliau berucap pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (NCCR) 2011 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, semalam.
Muka depan Berita Harian semalam melaporkan beberapa klinik swasta dikesan membuat pengesahan kesihatan pemohon GDL dan PSV dengan hanya mengenakan bayaran serendah RM4 tanpa perlu menjalani pemeriksaan doktor.
Perbuatan itu didedahkan beberapa pemohon lesen berkenaan kepada wartawan Berita Harian yang membuat siasatan di beberapa klinik di Kuala Terengganu selepas mendapat maklumat kegiatan itu.
Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman yang ditemui selepas itu berkata kebanyakan kes yang disiasat membabitkan pemalsuan dokumen oleh pihak ketiga yang menyamar dan menggunakan cop klinik.
Katanya, sistem online dibangunkan itu seperti sistem digunakan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) untuk pemeriksaan kesihatan pekerja asing.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, ketika dihubungi berkata pihaknya memandang serius dakwaan kes itu kerana membabitkan perbuatan salah di sisi undang-undang.
Di KUALA TERENGGANU, Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Syarifah Azizah Syed Muhd Shidli, berkata pihaknya akan membuat siasatan terperinci berhubung isu itu.

Berita disunting daripada Berita Harian, 23 Jun 2011

Wednesday, July 13, 2011

SALAM NANTIKAN TEKNIK MEMBUAT PENDAHULUAN YANG RINGKAS.

PENYAKIT MENTAL

Muhamad Hanafi Bin Muhamad Hashim
Program Pembangunan Manusia
Universiti Kebangsaan Malaysia

Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkahlaku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Daripada data yang diperoleh, sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan sehingga ke tahapskizofrenia. Golongan sakit mental merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan kerja. Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong dalam pesakit mental. Masalah mental merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga peringkat tua. Bagi kanak-kanak misalnya malu untuk makan dan ke tandas, takut ke sekolah dan hiperaktif juga termasuk dalam golongan mereka yang mengalami gangguan mental. Bagi golongan tua pula, antara penyakit mental yang dikesan ialah nyanyuk dan mengalami kemurungan.


Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis. Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif. Kumpulan kedua ialah penyakit yangbukan psikosis atau neurosis. Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini. Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan(depression) dan obsesif kompulsif. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan


Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental. Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah mental ialah faktor genetik dan keturunan. Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan. Terdapat kajian yang menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum. Faktor kedua ialah gangguan bahan kimia dalam otak sebagai contoh penghasilan dopmin secara berlebihan menyebabkan masalah Skizofrenia dan parasserotonim terlalu rendah menyebabkan masalah kemurungan. Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan berlaku. Faktor lain ialah jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosioekonomi yang rendah.


Selain itu, bagi tujuan rawatan pula terdapat beberapa jenis penyakit mental yang memerlukan rawatan segera seperti neurosis, penyakit mental organik seperti nyanyuk, gangguan personaliti, autism, hiperaktif, ketagihan dadah dan cubaan membunuh diri. Antara rawatan yang sering digunakan bagi merawat penyakit-penyakit ini ialah psikoterapi dan kaunseling, rawatan psikotropik, rawatan tingkahlaku dan rawatan elektrokonvulsif . Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar. Rawatan psikotropik menggunakan berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik dan digunakan untuk rawatan penyakit mental. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik. Rawatan tingkahlaku pula memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi merupakan satu contoh rawatan jenis ini. Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.


Pada masa kini, masyarakat mengangap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan mereka kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.. Masyarakat tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu para pesakit mental. Peranan masyarakat dalam penerimaan golongan ini hanya boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai pengetahuan mengenai penyakit mental secara umum. Mungkin pendedahan ini boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat.


Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat. Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Tiada siapa yang mahu membantu untuk meringankan beban hidup mereka. Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat

TEKNOLOGI TANPA WAYAR

Oleh: Dr. Rosdiadee Nordin

Universiti Kebangsaan Malaysia


Pada tahun 1895, seorang pelajar dikenali sebagai Guglielmo Marconi begitu berminat dengan teori gelombang radio yang dipelajari di dalam kelas yang dihadiri olehnya. Didorong oleh minat yang tinggi di dalam ilmu gelombang radio, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan mencipta prototaip telegraf radio pertama di dunia. Pada 13hb May 1987, beliau telah berjaya memancarkan isyarat telegrafi pertama, dengan pesanan “Adakah anda bersedia?” merentasi Selat Inggeris, di mana ketika itu beliau baru sahaja berumur 22 tahun! Kejayaan tersebut telah dijadikan sebagai titik permulaan kepada evolusi teknologi telekomunikasi tanpa wayar.

Semenjak pembentangan teori batasan kapasiti oleh Shannon pada tahun 1948 (lebih dikenali sebagaiShannon’s capacity limit), industri tanpa wayar telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Ini didorong oleh kemajuan teknologi fabrikasi litar bersepadu (IC), pemprosesan isyarat digital dan peruntukkan frekuensi spektrum radio yang cekap, sehingga membolehkan pemasaran alat mudah alih pada skala yang lebih besar pada kos yang lebih rendah kepada pengguna. Namun, aspek pemancaran, terutamanya pada lapisan fizikal saluran telekomunikasi tetap menjadi cabaran utama dalam mencapai kapasiti hampir kepada batasan Shannon. Ini oleh kerana ciri-ciri perambatan yang ada pada saluran telekomunikasi tidak boleh diramalkan, lalu memberikan pelbagai cabaran serta peluang kepada para-para penyelidik, baik dari akademik ataupun industri untuk mengeksploitasi ciri-ciri perambatan, daripada ‘musuh’ dalam menghalang kepada pencapaian kapasiti kepada ‘kawan’ dalam membantu mencapai kapasiti yang maksima.

Perkembangan awal di dalam industri telekomunikasi tanpa wayar boleh ditelusuri kembali pada tahun 1970-an, di mana sistem telekomunikasi analog, atau lebih dikenali sebagai Advanced Mobile Phone Service (AMPS) telah diperkenalkan oleh AT&T, iaitu syarikat gergasi telekomunikasi daripada Amerika Syarikat. AMPS lebih dikenali sebagai Generasi Pertama (1G) di dalam susur galur evolusi komunikasi tanpa wayar. AMPS pada ketika itu hanya mampu menawarkan kelajuan 2.4 kbps, di mana kelajuan tersebut hanya mampu memancarkan maklumat suara dengan menggunakan isyarat analog. AMPS memanfaatkan teknologi pelbagai akses pembahagi frekuensi, ataupun Frekuensi Division Multiple Access (FDMA). Antara sistem rangkaian lain berlandaskan platform 1G adalah Nordic Mobile Telephony (NMT), Total Access Communication System(TACS) di mana kedua-dua teknologi tersebut digunakan di benua Eropah pada tahun 1983 dan Japanese Total Access Communications (J-TACS) yang pernah diperkenalkan di Jepun.

Generasi Kedua (2G) rangkaian telekomunikasi menyaksikan permulaan era rangkaian digital sepenuhnya pada sistem pemancaran isyarat suara. Diperkenalkan pada akhir 1980-an dengan kelajuan sehingga 64 kbps, 2G memanfaatkan teknologi seperti penghantaran pakej data untuk meningkatkan kualiti suara dan juga kapasiti rangkaian, sehingga membolehkan lebih ramai pengguna untuk membuat panggilan telefon pada satu slot masa yang sama. Teknologi Global Satellite for Mobile Communication (GSM), atau awalnya dikenali sebagai Group Special Mobile merupakan sistem rangkaian 2G yang paling berjaya dikomersialkan ke seluruh pasaran dunia. Mengikut statistik dikeluarkan pada bulan Ogos 2010, GSM digunakan oleh lebih daripada 2 billion pengguna yang datang daripada 212 negara di serata benua. Ini kerana spesifikasi GSM memenuhi piawaian dan ketelusan pada peringkat antarabangsa, secara langsung memudahkan proses pembuatan dan pemasangan alat-alat telekomunikasi selain daripada kemudahan pengintegrasian rangkaian walaupun alat-alat pemancar tersebut dikeluarkan oleh syarikat pembuatan yang berlainan. Sebelum GSM, rangkaian telekomunikasi didominasi oleh rangkaian suis berlitar (circuit switched). Namun, pada 1990-an, revolusi Internet mendorong industri telekomunikasi untuk melangkau teknologi sedia ada dengan lebih jauh ke hadapan. Sebuah rangkaian teras berasaskan litar berpaket (packet switched) diperkenalkan ke dalam teras rangkaian GSM sedia ada pada tahun 2000. Ianya dikenali sebagai General Packet Radio Service (GPRS), ataupun dikenali sebagai teknologi evolusi 2.5G. Dengan wujudnya GPRS, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat menawarkan pakej perkhidmatan Internet kepada pengguna alat mudah alih seperti aplikasi Wireless Application Protocol (WAP) yang diperkenalkan pada 2002.

Oleh kerana permintaan untuk aplikasi berasaskan Internet menjadi semakin popular di kalangan pengguna mudah alih, platform 2G/2.5G sedia ada pada ketika itu didapati tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan internet berkelajuan yang lebih tinggi kepada pengguna. Ini mendorong kepada pembangunan teknologi rangkaian Generasi Ketiga (3G) pada hujung tahun 90-an. Pada tahun 1998, badan piawaian antarabangsa, Third Generation Partnership Project (3GPP) telah memperkenalkan teknologi dikenali sebagai Universal Mobile Telecommunications System (UMTS), di mana ianya merupakan peningkatan daripada spesifikasi GSM terdahulu. Dua unsur baru telah diperkenalkan di dalam komponen Radio Access Network (RAN) sedia ada, iaitu: Universal Terrestrial Radio Access Network (UTRAN) bersama dengan teknologi capaian baru, iaitu Wideband Code Division Multiple Access (WCDMA). Dengan wujudnya teknologi UMTS, pengguna dapat menikmati kelajuan muat turun sehingga 384 Kbit/s. Penambahbaikan kepada rangkaian UMTS sedia ada, lebih dikenali sebagai High-Speed Packet Access (HSPA) mampu menawarkan kelajuan muat turun sehingga 14 Mbps pada saluran jalur lebar 5 MHz kepada pengguna. Pada tahun 2009, rangkaian evolusi kepada HSPA, Evolved HSPA (HSPA+) atau lebih dikenali sebagai 3.75G dapat menawarkan kadar muat turun selaju 56 Mbit/s kepada pengguna. Kadar kelajuan ini di dapati lebih daripada kadar kelajuan Internet jalur lebar yang dinikmati oleh rata-rata pengguna berasaskan gentian fiber di Malaysia!

Biodata: Penulis baru sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) di University of Bristol, United Kingdom dan sekarang sedang berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai seorang ahli akademik dan juga penyelidik di dalam bidang telekomunikasi tanpa wayar. Penulis boleh dihubungi melalui email adee@eng.ukm.my

Tuesday, July 12, 2011

SKOP RAMALAN 2011

Berikut adalah skop ramalan esei Pengajian Am Kertas 2 2011 dari sebuah sekolah menengah di daerah Sibu.
1. gangsterism
2. bahan kimia dlm pertanian
3. merokok,
4. plkn,
5. ceti haram,
6. cabul rogol bunuh,
7. rasuah,
8. kad kredit/cek,
9. harga air,
10. harga bhn mentah,
11. buli wanita di sekolah

Sunday, July 10, 2011

PROGRAM UNTUK WANITA OLEH KERAJAAN


Latihan Kemahiran

Pelbagai program latihan kemahiran dan keusahawanan dilaksanakan bagi membolehkan wanita memajukan diri dan mengambil peluang dalam pasaran pekerjaan. Seramai 3000 orang usahawan wanita mendapat manfaat daripada program ini terutamanya penerima pinjaman Yayasan Tekun Nasional (YTN). Program yang sama juga dilaksanakan di bawah Program Keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menyediakan latihan kepada 8000 orang wanita.

Program Keusahawanan

Di bawah skim YTN sebanyak RM200 juta dikeluarkan sebagai pinjaman kepada 46 ribu wanita untuk membantu mereka dalam aktiviti keusahawanan. Di bawah Skim Bantuan Khas Usahawan Wanita sebanyak RM18.5 juta diluluskan kepada 185 usahawan wanita. Pinjaman ini membantu mereka melibatkan diri dalam perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat, perekabentuk dan pembungkusan produk, penyelidikan dan pembangunan serta pemasaran. Program latihan juga dilaksanakan bagi membantu usahawan wanita menaik taraf perniagaan mereka ke peringkat perindustrian kecil dan sederhana (PKS). Di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Pertanian pula sebanyak 154 bengkel latihan dikendalikan yang memanfaatkan 6238 orang wanita. Hasil daripada program ini, wanita telah menyertai industri makanan berasaskan pertanian yang menghasilkan jumlah jualan sebanyak RM94.1 juta.

Program NUR Sejahtera

Ia diperkenalkan bagi mendidik wanita mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan yang kerap serta mengamalkan gaya hidup sihat. Health Line pula diperkenalkan bagi menyediakan maklumat yang menyeluruh dan bersepadu melalui talian mengenai penyakit tidak berjangkit seperti kanser, kencing manis dan penyakit berkaitan jantung. Langkah ini menunjukkan betapa pentignya kesihatan dan pengesanan awal kanser.

Penubuhan NIEW

Penubuhan Institut Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) Bagi Memperkasa Wanita (NIEW) adalah sebagai sebuah institusi antarabangsa yang memberi tumpuan untuk memperkasakan wanita menerusi pendekatan pembelajaran sepanjang hayat. NIEW juga berkhidmat sebagai pemangkin untuk Negara-negara NAM menerusi pelbagai latihan serta program penyelididkan bagi memperkuatkan kerjasama Negara selatan-selatan dalam memperkasa dan membangunkan wanita.

Penubuhan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NICIWID)

Ia ditubuhkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1976 bertujuan bagi menterjemahkan pelan tindakan sedunia mengenai wanita dalam pembangunan Negara. Selain itu, ia memberi nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara berkenaan wanita dalam perhubungan Negara.

Penubuhan Urusetia Hal Ehwal (HAWA)

Pada 1983, HAWA telah ditubuhkan untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan swasta bagi faedah kaum wanita. Selain daripada bertindak sebagai maklumat utama mengenai hal ehwal wanita, HAWA juga berfungsi sebagai urusetia kepada NACIWID.

TEKNOLOGI SATELIT

MEMAHAMI TEKNOLOGI SATELIT



satelit

Satelit sebagai penghubung komunikasi

Analisis misi satelit adalah penting kerana ia memastikan misi satelit ditepati. Analisis yang selalu dilakukan adalah seperti analisis orbit yang diperlukan untuk menetapi misi satelit, analisis sistem beban bayar dan analisis bus satelit. Ia selalu dilakukan oleh jurutera aeroangkasa. Secara khususnya, satelit melibatkan komponen seperti;



Payloads atau beban bayar yang dapat menentukan misi satelit.

Ia terdiri daripada sistem penderiaan jauh, sistem komunikasi dan kajian sains angkasa;



Penderiaan jauh (remote sensing)

Penderiaan jauh adalah sistem untuk mengimbas permukaan bumi membabitkan pemerolehan maklumat untuk tujuan pemetaan;



Sistem Komunikasi Satelit


Melibatkan sistem perhubungan yang menggunakan satelit sebagai penghubung antara dua (atau lebih) titik komunikasi di bumi dan terdiri daripada reka bentuk sistem komunikasi dan pengoperasian stesen bumi oleh jurutera komunikasi dan elektrik/elektronik.



Kajian Sains Angkasa


Merupakan pakej saintifik yang kajiannya diadakan di angkasa lepas dan melibatkan saintis dalam bidang sains fizik.



Bas Satelit (Satellite Bus)

Ia melibatkan pelantar satelit itu sendiri, iaitu terdiri daripada struktur satelit dan subsistem satelit yang perlu kepakaran yang khusus.



Melibatkan struktur yang memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan. Bidang-bidang yang diperlukan adalah:

satelit

  • Jurutera aeroangkasa dalam reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan bahan logam dan bukan logam yang sesuai untuk misi satelit.
  • Jurutera bahan dalam penggunaan bahan logam (seperti aluminium dan lain-lain) dan bukan logam (seperti komposit).
  • Jurutera awam dalam analisis struktur.



Subsistems melibatkan;



Kuasa (Power)

Subsistem kuasa memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan. Bidang-bidang yang diperlukan adalah;

  • Jurutera aeroangkasa dan jurutera kuasa dalam reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan teknologi kuasa seperti sel suria dan bateri yang sesuai untuk misi satelit.
  • Jurutera aeroangkasa dalam mereka bentuk sistem kuasa misi, iaitu kaedah penggunaan kuasa semasa satelit mengorbit bumi.
  • Jurutera elektrik dan elektronik untuk membangunkan litar yang mengawal penjanaan kuasa dan penggunaan kuasa, termasuk pengaturcaraan dan algoritma yang sesuai.
  • Saintis dalam bidang fizik untuk mengkaji bahan-bahan dalam pembuatan sel suria yang terkini.




Penentuan Sikap dan Kawalan




Subsistem ADCS memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan.

  • Sistem penentuan sikap seperti penderia matahari (sun sensor), penderia bumi (earth sensor), magnetometer dan penderia bintang (star sensor).
  • Sistem kawalan sikap seperti magnetork (magnetorque), roda tindakbalas (reaction wheel), sistem pendorong (propulsion system) dan lain-lain.
  • Kawalan Haba Subsistem kawalan haba memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan sistem-sistem kawalan haba sama ada aktif atau pasif di angkasa. Bidang-bidang yang diperlukan adalah;
  • Jurutera aeroangkasa untuk reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan teknologi kawalan haba yang sesuai untuk misi satelit.
  • Jurutera mekanikal, dan jurutera bahan untuk membangunkan bahan-bahan terkini yang boleh digunakan untuk mengawal haba.
  • Saintis dalam bidang fizik




Kawalan Telemetri & Telekomunikasi (TT&C)



Sistem TT&C satelit adalah sistem perhubungan yang menghantar maklumat kesihatan satelit (satellite health) dan pengawalan (control) satelit. Ia terdiri daripada;

  • Reka bentuk sistem komunikasi yang akan dibuat oleh jurutera. aeroangkasa dan jurutera komunikasi.
  • Pengoperasian stesen bumi oleh jurutera komunikasi.
  • Sistem pendorong satelit adalah sistem pendorong dan kawalan satelit. Ia terdiri daripada;
  • Reka bentuk sistem pendorong yang akan dibuat oleh jurutera aeroangkasa dan jurutera mekanikal.
  • Bahan pembakarnya pula akan dijalankan oleh jurutera aeroangkasa, jurutera kimia, jurutera mekanikal dan saintis dalam bidang sains kimia.




Data Arahan dan Pengendalian Sistem ini merupakan sistem pengoperasian satelit yang mengawal semua subsistem dan beban bayar satelit. Ia akan memerlukan kepakaran jurutera aeroangkasa, jurutera elektronik, jurutera komputer dan pakar pengaturcaraan (programmer) untuk mereka bentuk sistem pemproses komputer dan menulis program dan algoritma yang sesuai.



Teknologi pelancar Ia berkaitan dengan pemilihan pelancar untuk melancarkan satelit ke angkasa. Ia selalu dilakukan oleh jurutera aeroangkasa.



Aplikasi/Penggunaan Teknologi Satelit



Untuk melihat penglibatan kerjaya dalam penggunaan teknologi satelit, terdapat dua kategori, iaitu;


Penderiaan Jauh


Penderiaan jauh adalah sistem untuk mengimbas permukaan bumi di mana maklumat yang diperolehi akan digunakan untuk pemetaan, perancangan, pertanian dan pembuat keputusan.



Komunikasi Satelit


Sistem komunikasi satelit adalah sistem perhubungan yang menggunakan satelit sebagai penghubung antara dua (atau lebih) titik komunikasi di bumi.





Satelit Tempatan


MEASAT-1



Dilancarkan pada 13 Januari 1996 di Kourou, French Guaiana. Ianya menyediakan aplikasi khas iaitu perkhidmatan 'terus ke rumah' dalam iklim hujan dan tropika serta isyarat tinggi untuk memancarkan program televisyen di negara ini, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.



MEASAT-2



Dilancarkan pada 13 November tahun yang sama di Kourou, French Guianan. Kesinambungan kepada siri gemilang negara dalam dunia komunikasi satelit. Seperti juga MEASAT-1, MEASAT-2 merupakan sistem satelit komunikasi dua pesawat putar distabil berkuasa tinggi HS376 yang dibina oleh syarikat Hughes Space and Communications Inc. dari Amerika Syarikat. Perkhidmatannya memberi kesan dalam tiga bidang utama iaitu komunikasi, maklumat dan pembaharuan kepada industri hiburan.


TiungSAT-1



Dilancarkan pada 26 September 2000. Pemantauan TiungSAT-1 dari stesen bumi di negara ini, dijalankan sepasukan empat jurutera dari stesen bumi yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Mampu merakamkan imej muka bumi menggunakan empat kamera pelbagai guna dengan resolusi 80 meter.



MEASAT-3



Dilancarkan 12 Disember 2006 di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Direka bentuk dengan objektif untuk menyediakan landasan transmisi satelit serba guna yang paling berkuasa dan paling berpotensi dari segi komersial.



RazakSat




Dijadualkan dilancarkan antara 31 Ogos hingga 16 September 2008 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Pusat Angkasa Negara akan berfungsi sebagai stesen bumi yang akan menerima data satelit berkenaan selepas ia berada di angkasa lepas.



RazakSAT seberat 180 kilogram telah melalui dua fasa pembinaan iaitu model kejuruteraan dan model kelayakan. Ia mampu menghasilkan imej pankromatik dengan resolusi 2.5 meter dan imej panca spektra lima meter.

Kedua-dua ciri ini antara lain akan digunakan untuk melakukan pemetaan prasarana, memantau laluan perkapalan, melakukan pemetaan geologi dan memantau ekosistem marin.

RazakSAT akan ditempatkan 600 kilometer (km) atau 700 km dari bumi dalam kedudukan Orbit Hampir Khatulistiwa (NEO).

Satelit itu mempunyai kemampuan pencerapan ke bumi sejauh 600 km dari angkasa dan berupaya memantau sebarang bentuk penerokaan hutan secara berleluasa menerusi penghantaran imej yang lebih kerap berbanding TiungSAT-1.

Selain berupaya memantau sebarang aktiviti alam sekitar lain termasuk cuaca dan iklim, RazakSAT juga boleh mengesan objek setinggi 2.5 meter iaitu bersaiz sebuah bas atau lori.