KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH
Showing posts with label DASAR DALAM NEGARA. Show all posts
Showing posts with label DASAR DALAM NEGARA. Show all posts

Monday, July 18, 2011

BIASISWA PRA-U DIHENTI



biasiswa

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti,


termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level.

Sebaliknya, mereka hanya ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar pra universiti yang cemerlang dan mendapat tempat di universiti terkemuka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semakan semula dasar sedia ada perlu kerana kerajaan mendapati pemberian biasiswa pada peringkat SPM bukan idea yang sesuai kerana ia setaraf O-Level.


Beliau berkata ini kerana pelajar yang cemerlang pada peringkat SPM tidak bermakna akan cemerlang apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat pra universiti.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan pemanggil dalam program temu ramah di stesen radio bahasa Cina, One FM, di sini semalam. Program dikendalikan penyampai radio, Jack Yap, Jane Ng dan Nicholas Ong, selama sejam bermula 7.30 pagi dan disiarkan secara langsung melalui saluran ntv7.

Kajian semula menyeluruh dasar itu dibuat berikutan pelbagai rungutan berhubung pengagihan biasiswa JPA apabila ada pelajar cemerlang tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara sehingga timbul dakwaan wujud pilih kasih dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Najib berkata dasar baru itu juga akan mengambil kira keperluan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara bagi mengelak kedudukan universiti tempatan dalam senarai universiti terbaik dunia terjejas.

Katanya, walaupun kerajaan memutuskan untuk memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang memperoleh 8A+, tidak semua pelajar dianugerah biasiswa untuk mengikuti pengajian di luar negara.

Katanya kerajaan cuba bersikap adil sepenuhnya dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Jika tiada dasar yang jelas, akan ada pelajar tercicir terutama dari luar bandar. Oleh itu perlu adil serta seimbang dan kerajaan sedang memikirkan formula yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan itu.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedang membuat pemilihan pelajar yang tidak menerima biasiswa JPA untuk diberikan biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta dalam negara.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

RUMAH RAKYAT


rumahawam2

KUALA LUMPUR: Sebahagian tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi akan dibangunkan dengan projek perumahan rakyat 1Malaysia (PRIMA)



yang memberi peluang kepada golongan muda memiliki rumah mampu milik berkualiti berharga RM220,000 ke bawah selepas pangkalan itu dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Projek pembangunan berkonsepkan perniagaan sosial untuk kepentingan negara itu antara inisiatif kerajaan menjayakan Skim Rumah Pertamaku yang bakal memberi manfaat kepada generasi muda berusia 35 tahun ke bawah dengan pendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa syarikat pemaju seperti Sime Darby, SP Setia dan Perbadanan Putrajaya untuk membolehkan projek perumahan rakyat berkualiti dibangunkan di kawasan berkenaan.

Katanya projek itu tidak akan menjadi projek komersial, sebaliknya projek berasaskan model sosial bisnes dengan kerajaan menyediakan tanah... pemaju membangunkan perumahan berkualiti dan mereka perlu mengemukakan perancangan projek kepada kerajaan termasuk kos.

Kerajaan akan melakukan analisis perniagaan untuk memastikan pemaju tidak membuat sebarang keuntungan tetapi pada masa sama tidak rugi. Saya harap kita boleh melaksanakannya sebagai program nasional.

Temu ramah sejam bermula dari jam 7.30 pagi turut disiarkan secara langsung melalui saluran ntv7. Orang ramai bukan saja berpeluang mendengar jawapan Najib mengenai pelbagai perkara berhubung kehidupan peribadi serta dasar kerajaan, malah berpeluang mendengar celoteh anak Perdana Menteri, Norashman yang fasih berbahasa Mandarin.

Terdahulu, ketibaan Najib disambut Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin dan pegawai-pegawai kanan Media Prima.

1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek yang boleh menjana peluang berimpak tinggi kepada ekonomi negara dipertanggungjawabkan mengubah wajah kawasan pangkalan TUDM di Sungai Besi seluas 196.6 hektar kepada sebuah perbandaran baru bersepadu dikenali sebagai Bandar Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Unit Khas di Jabatan Perdana Menteri akan mengendali pengagihan rumah mampu milik untuk memastikan ia dilaksanakan secara adil dan telus.

Menjawab soalan Nicholas mengenai kesukaran mendapatkan tanah di sekitar ibu negara untuk membangunkan projek perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu lebih imaginatif untuk mencari lokasi sesuai untuk melaksanakan program perumahan berkualiti dan mampu milik.

Najib berkata projek ini akan memberi manfaat kepada generasi muda dan sebagai kerajaan yang prihatin kita perlu memenuhi keperluan rakyat.

Disunting Daripada Berita Harian

Thursday, July 14, 2011

PERKHIDMATAN SYARIAH


najib_syariah


DATUK Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan mengukuhkan prasarana industri pengurusan dana Islam dengan menyediakan kemudahan aliran rentas sempadan untuk produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta meningkatkan pertumbuhan bidang aktiviti bernilai tinggi.

Perdana Menteri berkata, untuk itu kerajaan akan memberi fokus kepada perkhidmatan berasaskan syariah dan bukan sekadar patuh kepada perkhidmatan berkenaan dalam usaha menarik modal insan berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, beliau mengajak industri pengurusan dana United Kingdom (UK) membantu membina industri pengurusan dana Islam sejajar dengan peningkatan pengurusan pelaburan Islam global hari ini. Kita mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan masyarakat pengurusan dana global. Bagi industri pengurusan pelaburan Islam, ia membabitkan terjemahan konsep seperti perkongsian risiko dan tanggungjawab sosial serta etika pelaburan dalam operasi komersial.

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia mempunyai ekonomi yang luas dan pelbagai untuk membina pasaran modal dan sejak sekian lama, syarikat kecil dan sederhana dalam industri pertanian, sumber asli, perkilangan dan perkhidmatan menyediakan banyak peluang menarik untuk pelaburan jangka panjang. Katanya, dalam tempoh 10 tahun, 241 syarikat awam berhad (PLC) mencapai pertumbuhan modal pasaran lebih 10 peratus setiap tahun.
Najib juga berkata, Malaysia adalah ‘rumah’ kepada perbankan Islam dan pasaran kewangan dunia serta sebuah negara pasaran modal paling komprehensif di Asia, selain pasaran ekuiti dan sekuriti kerajaan berbanding 10 tahun lalu. Hari ini gabungan pasaran ekuiti dan hutang meningkat daripada AS$240 bilion pada 2000 kepada AS$667 bilion pada 2010 dan dijangka meningkat tiga kali ganda antara AS$1.5 trilion dan AS$1.9 trilion pada 2020.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan lima hari yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau juga berucap pada majlis sambutan oleh Datuk Bandar London, Alderman Michael Bear di Manson House. Selain itu, Najib melawat Stesen Keretapi Antarabangsa St Pancras, disambut oleh Setiausaha Negara bagi Pengangkutan, Philip Hammond serta perbincangan meja bulat dengan syarikat kereta api UK yang memberi fokus kepada pembinaan dan kemajuan kereta api.

Najib kemudian menemui Setiausaha Negara Bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, William Hague. Beliau dan isteri juga menghadap Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri David Cameron di No 10, Downing Street.

Ketika berucap di Manson House, Perdana Menteri meyakinkan pelabur UK bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) akan meningkatkan peranan sektor swasta dan menjadikan Malaysia sebagai tempat menarik pelabur global.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha mengetepikan halangan kepada pelabur, sebaliknya meningkatkan insentif dan mewujudkan persaingan serta memperbaiki persekitaran perniagaan, tetapi paling penting mengimbangi peranan sektor awam dan swasta kerana dalam dunia moden, peranan kerajaan adalah untuk menyokong perniagaan dan bukan menyusahkan.

Sementara itu, pada majlis perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Malaysia dan UK turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bermatlamat membanteras jenayah merentas sempadan.

Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, manakala UK diwakili Setiausaha Kementerian Luarnya, Teresa May.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis jamuan petang yang dihoskan Hague.
Disunting Daripada Berita Harian

MOMENTUM PENCAPAIAN GTP DITERUSKAN


idrisjalal

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan momentum pencapaian memberangsangkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun pertama pelaksanaannya akan diteruskan dalam merealisasikan sasaran menjadikan Malaysia sebagai

negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata semua pihak tidak harus leka dengan kejayaan dalam tempoh singkat ini kerana masih banyak perlu dilakukan untuk menjayakan program GTP berkenaan. Sambil memuji usaha keras kakitangan kerajaan, beliau berkata kejayaan program transformasi itu memerlukan sokongan bukan saja sektor awam malah semua pihak.

Katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam, dalam tempoh setahun ini, GTP melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih sebelumnya terutama dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Bagi meneruskan kejayaan ini, komitmen dan sokongan diperlukan dari semua pihak, bukan saja kakitangan kerajaan semata-mata. Malaysia mempunyai keupayaan menjayakan program ini.



Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan laporan tahun pertama GTP, memberi jaminan bahawa rakyat sebagai pemegang saham terpenting GTP akan terus mendapat manfaat hasil pencapaian memberangsangkan tahun pertama pelaksanaan enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).



Pelancaran buku laporan 268 muka surat hasil pencapaian tahun pertama GTP dilakukan selepas pelancaran program berkenaan secara rasmi pada 28 Januari 2010. Idris, yang juga Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), berkata berdasarkan pencapaian program itu juga, PEMANDU akan memastikan segala kelemahan yang wujud akan diperbaiki dan memastikan sasaran dalam GTP terlaksana.

Katanya, laporan prestasi keseluruhan GTP termasuk tumpuan enam NKRA disiarkan untuk tatapan umum nyata menunjukkan kerajaan sangat telus melaksanakan program berkenaan. Perdana Menteri mahu segala janji yang dibuat dalam GTP didedahkan kepada umum. Kerjaan tahu akan ada suara sumbang mengenai pencapaian GTP dan berharap laporan ini akan membuka mata semua pihak.

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

PINJAMAN ISI RUMAH 5 PERATUS



bank-negara-malaysia

KUALA LUMPUR : Pertumbuhan pinjaman isi rumah pada tahun ini dijangka hanya meningkat lima peratus berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan peraturan pinjaman.

Bank pusat itu telah membataskan pemilikan kad kredit sebelum ini dan juga menurunkan kadar pembiayaan bank kepada 70 peratus untuk pembelian rumah ketiga.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, pada tahun lalu, hutang isi rumah dalam perbankan berjumlah RM486 bilion, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2009.

Katanya, hutang isi rumah merujuk kepada pinjaman seperti pembiayaan kereta, kad kredit, rumah dan peribadi.

Katanya, jumlah itu mewakili 55 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM876 bilion pada tahun 2010, di mana selebihnya adalah pinjaman perniagaan.

Beliau turut merujuk bagaimana pinjaman tidak berbayar membawa masalah di Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya memberi kesan kepada ekonomi global.

Berita disunting daripada Utusan Malaysia

UNIT PENYAMPAI EKONOMI TERAJUI PROSES NKEA MULAI JUN


najib-razak

KUALA LUMPUR: Unit Penyampai Ekonomi (EPE) akan ditubuhkan selaras dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-10 untuk menerajui proses perubahan dalam pelaksanaan Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) pada Jun ini, kata Datuk Seri




Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, NKEA adalah bidang yang akan dikenal pasti sebagai berpotensi memberi kelebihan kepada ekonomi negara untuk terus berkembang mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menurutnya, selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), beliau komited mengadakan proses rundingan menyeluruh dengan semua pemegang kepentingan untuk memastikan NKEA dipilih berdasarkan kepentingan negara. Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) akan bekerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) bagi membangunkan NKEA. Najib berkata, MEB adalah tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk dan disusun untuk manfaat rakyat Malaysia pada masa akan datang.



Selain itu, Najib berkata, kerjasama awam-swasta perlu dirangsang bagi mewujudkan hubungan yang strategik dan teguh, dipacu pasaran yang berasaskan permintaan. Sehubungan itu, katanya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada jumlah dagangan di pasaran saham dibenarkan untuk melabur lebih banyak aset di luar negara.



Kerajaan akan bekerjasama dengan KWSP untuk membangunkan kawasan seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh sebagai hub baru Lembah Klang yang bernilai RM5 bilion. Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (Mida) pula akan dikorporatkan untuk memberikannya lebih fleksibiliti untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja serta bakat diperlukan.



Mida akan dijenamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkan ia meluluskan insentif secara secara terus dan bertindak pantas menjalin hubungan dengan pelabur.



Berita disunting daripada sumber : Berita Harian