KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Wednesday, July 29, 2009

REMAJA: BATAS BERCINTA

Zaman remaja ialah zaman yang penuh pancaroba. Perubahan emosi,
fizikal dan seksual di peringkat ini ialah antara pendorong kepada
remaja meneroka satu dimensi baru dalam alam mereka, iaitu alam
percintaan.

Bagi remaja yang baru melangkah ke alam ini sering kali berasa serba
salah. Sungguhpun mereka berasa seronok dibuai perasaan oleh
pengalaman baru ini, mereka juga berasa bimbang dengan cabaran yang
bakal mereka tempuhi. Banyak berita di pelbagai media melaporkan
tentang akibat remaja yang bercinta seperti lari dari rumah,
dijadikan pelacur, malah ada yang membunuh diri dan seumpamanya.
Namun, benarkah perasaan cinta yang baru berputik di dalam jiwa
remaja hanya membawa keburukan dan kemusnahan kepada diri remaja?

Ramai pihak berpendapat bahawa sebenarnya cinta remaja boleh membawa
kesan yang positif kepada mereka. Malah, perasaan cinta itu boleh
menjadi pendorong kepada remaja untuk berjaya dalam pelajaran. Dalam
hal ini remaja perlu tahu batas-batas dalam melayani perasaan cinta
mereka dan juga cara-cara mengendalinya secara positif.

Menurut Kaunselor Unit Kerjaya dan Kaunseling, Universiti Teknologi
Mara, (UiTM), Rokiah Mahmod, cinta remaja adalah sesuatu yang tidak
dapat dielakkan.

“Setiap manusia dianugerahkan fitrah ini dan remaja tidak terkecuali
mengalaminya.

“Kasih sayang dan cinta yang dipupuk pada peringkat ini adalah satu
permulaan kepada remaja mengenali individu lain selain keluarga.
Pengaruh rakan sebaya ialah antara pendorong kepada pengurangan
penggantungan kepada ibu bapa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, hubungan yang rapat antara dua remaja
akan menimbulkan perasaan kasih sayang yang membawa kepada sikap
menghormati, dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Keserasiaan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dalam
meningkatkan penguasaan pelajar dalam pembelajaran apabila timbul
satu persaingan yang sihat antara kedua-dua remaja tersebut,” katanya.

Perkongsian pendapat, ulang kaji dan latihan dalam setiap
pembelajaran yang dilakukan bersama dilihat dapat membantu remaja
yang bercinta untuk mendapat kejayaan yang diimpikan dalam
perhubungan itu.

Menurut Rokiah lagi, walaupun remaja mempunyai hak untuk bercinta,
batasan pergaulan yang ditetapkan dalam agama harus diambilkira dalam
memastikan hubungan yang berasaskan kemurnian dan keikhlasan yang
sejati.

Persoalan cinta remaja ini juga menjadi perhatian serius Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKPKN). Bagi membantu
remaja mengendali diri dalam menghadapi cinta, LPKPKN telah
menganjurkan Kursus Naluri Cinta Remaja baru-baru ini.

Kursus ini ialah sebahagian daripada Kursus Bersiri Pembangunan
Keluarga yang memberi pengetahuan yang berguna mengenai cinta kepada
remaja, ibu bapa dan pihak lain yang berminat.

Menurut Pegawai Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Perkhidmatan
Maklumat, LPPKN, Fouziah Hanim, objektif kursus ini antara lain untuk
memberi kefahaman dan pendedahan tentang aspek psikologi cinta dan
hubungannya dengan remaja.

“Melalui kursus ini juga, pihak terbabit termasuk remaja dapat
dibimbing untuk mengurus dan mengelola diri dalam menangani isu cinta
dengan lebih bijak dan matang,” katanya.

Fouziah yang juga pemudahcara kursus terbabit berkata, cinta di
peringkat remaja agak kompleks kerana pada masa itu remaja mengalami
satu proses perubahan dari alam kanak-kanak ke alam remaja yang
membawa kepada pelbagai konflik dalaman yang unik.

“Oleh itu, untuk mendalami keadaan ini, remaja dan ibu bapa
khususnya, harus berupaya mencari arah tuju cinta remaja yang
sebenarnya dengan membangkitkan persoalan wajarkah remaja bercinta,
jenis-jenis cinta remaja, perubahan dan perkembangan fizikal, emosi
dan kognitif remaja” katanya.

Menurut pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM), Ustaz Daim Jazuli Islam menggalakkan rasa cinta tetapi cinta
yang diamalkan oleh kebanyakan remaja masa kini membawa kepada
keasyikan yang menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian buruk seperti
bohsia, bohjan, kes membuang bayi dan sebagainya.

“Dunia remaja sememangnya penuh dengan pelbagai perkara yang
menyeronokkan selain ribuan cabaran dan godaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, percintaan remaja yang bukan berpaut kepada
hukum Allah dan pemikiran remaja yang masih mentah mengenai cinta
akan membawa kepada kesan negatif kepada perkembangan sosial dan
emosi remaja sendiri.

Oleh itu, sebagai remaja, percintaan yang dipupuk antara mereka
mestilah berasaskan perspektif, syariat dan prinsip Islam agar
perhubungan itu dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

No comments: