KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, July 20, 2009

TIADA CADANGAN MANSUHKAN UPSR

muhyiddin1

SHAH ALAM: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat sesetengah pihak tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi sedikit pengubahsuaian akan dilakukan terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingan atau kayu pengukur.

"Mungkin kepentingan dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran Sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim kelmarin supaya UPSR dimansuhkan selepas ia dilihat hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sistem pendidikan negara bersifat dinamik kerana ia sentiasa melalui proses perubahan.

Justeru, katanya, pandangan Razali akan diambil kira dan sedang dilaksanakan selaras langkah transformasi dalam sistem pendidikan negara bagi mengelak ia terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Kita nak melihat pendekatan secara lebih seimbang. Kita mungkin membawa pendekatan baru dari segi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi sistem berdasarkan pendidikan di sekolah dan ini sedang disusun pada peringkat kementerian.

"Mungkin akan ada perubahan dan pengubahsuaian mengenai sistem peperiksaan sedia ada termasuk UPSR yang dinilai empat subjek saja sedangkan pelajar juga belajar subjek lain," katanya.

Di KUALA LUMPUR: Razali berkata cetusan idea untuk memansuhkan UPSR bertujuan untuk mendapat maklum balas daripada guru, ibu bapa dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, ibu bapa, guru dan NGO adalah kumpulan yang mampu menilai sejauh mana kepentingan UPSR, sama ada ia masih relevan untuk diguna pakai dalam perkembangan negara hari ini atau perlu dimansuhkan.

“Untuk menentukan sama ada ia perlu dimansuhkan atau tidak, itu adalah tugas kerajaan. Oleh itu, guru, ibu bapa dan NGO perlu memberi pandangan terhadap perkara ini.

“Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno bahagian Serdang di sini, semalam.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pemansuhan UPSR juga membolehkan Kementerian Pelajaran memberi tumpuan kepada beberapa subjek yang dianggap penting seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah yang dipinggirkan walaupun perlu untuk pengisian jiwa pelajar.


Sumber: Berita Harian

No comments: