KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Sunday, September 27, 2009

ARTIKEL DASAR PERUMAHAN NEGARA

Dasar Perumahan Negara Dilaksana Hanya Selepas Terima Maklum Balas Semua Pihak

IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan Dasar Perumahan Negara hanya selepas memperolehi maklum balas daripada orang ramai sehingga akhir tahun ini bagi mendapatkan input dalam merangka satu dasar yang lebih seimbang dan adil.

Menterinya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata pihaknya mahu memastikan kepentingan pembeli rumah benar-benar dilindungi dan dalam masa yang sama tidak mahu dilihat sebagai terlalu banyak campur tangan kerajaan sehingga boleh 'melemaskan' industri perumahan negara serta pasaran bebas.

"Sekarang adalah peringkat permulaan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk orang ramai dan mereka yang terbabit dalam industri berkenaan dengan jangkaan semua maklumat yang dikehendaki diperoleh dalam tempoh sekarang sehingga akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhemahan Kepimpinan dan Latihan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Perak di Wisma PBSM di sini hari ini.

Beliau berkata dasar baru yang akan diperkenalkan kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pembeli rumah dan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan selain memastikan ia tidak merencatkan pembangunan sektor perumahan di negara ini.

Katanya kerajaan memberi jaminan tidak akan membuat perubahan yang drastik atau garis panduan terlalu ketat kepada pihak yang terbabit dalam industri berkenaan.

"Sebuah pertubuhan pemaju perumahan ada menyatakan kepada saya bahawa pembinaan sesebuah rumah akan membabitkan banyak komponen termasuk pemaju, kontraktor, arkitek, jurutera, pekerja, pembekal bahan binaan, dekorasi dan pengeluar perabot sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan.

"Oleh itu, kerajaan tidak boleh melakukan terlalu banyak perubahan tetapi dalam masa sama kita juga mahu melindungi pembeli rumah kerana mereka mudah tertipu dengan sesetengah projek," katanya.

Ong berkata kerajaan mahu memastikan keseimbangan dengan merangka satu dasar lebih menyeluruh yang mendapat sokongan semua pihak yang berkepentingan.

Semalam Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin, dilaporkan berkata masalah projek perumahan terbengkalai mungkin akan menjadi suatu perkara lapuk tidak lama lagi apabila kerajaan memperkenal dan melaksanakan Dasar Perumahan Negara khusus bagi menangani pelbagai masalah dalam sektor perumahan.

Hamzah berkata melalui dasar itu juga, kementeriannya akan memberi perhatian yang lebih terhadap laporan kemajuan syarikat dan projek dengan laporan kemajuan projek akan disyorkan supaya diserahkan kepada kementerian dengan lebih kerap untuk tujuan pemantauan, berbeza dengan keadaan ketika ini di mana syarikat pemaju hanya dikehendaki menghantar laporan dua kali setahun.

No comments: