KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Tuesday, March 2, 2010

FTA MALAYSIA-NEW ZEALAND

PUTRAJAYA: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan New Zealand akan menjadi mercu tanda penting dalam peningkatan perdagangan serta pelaburan membabitkan kedua-dua negara, sekali gus memperkukuhkan hubungan tradisi yang sedia terjalin, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, hubungan tradisi kedua-dua negara sentiasa baik yang dibuktikan dengan jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand yang meningkat dua kali ganda antara 2006 hingga 2008.
“Sebagai contoh, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat dua kali ganda daripada 2006 hingga 2008 dengan jumlah RM6.15 bilion,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key di sini, semalam.

Terdahulu Najib mengetuai delegasi Malaysia bermesyuarat dengan rombongan negara berkenaan yang diketuai Key.

Berikutan pemeteraian FTA di antara kedua-dua negara katanya, Malaysia berharap akan menjadi lokasi pilihan bagi ahli perniagaan New Zealand, bukan saja dalam perdagangan di negara ini, sebaliknya sebagai hab bagi rantau Asean.
“Kita berharap pelabur New Zealand melihat Malaysia sebagai pintu pasaran negara Asean,” katanya.

Najib berkata, FTA juga akan merangsang lebih banyak syarikat New Zealand untuk mengembangkan operasi ke Malaysia kerana semua isu perdagangan dan pelaburan yang belum diselesaikan antara kedua-dua negara dapat ditangani.

Katanya, hubungan tradisi sedia ada dengan New Zealand selama ini turut membabitkan bidang pendidikan dan pelancongan yang terus berperanan sebagai bidang penting.

“Kita turut berbincang mengenai bidang (hubungan) tradisi seperti pendidikan dengan Malaysia akan terus menjalinkan hubungan kukuh dengan New Zealand dan seperti dijangkakan, bidang pendidikan akan terus menjadi faktor utama,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bidang pelancongan antara kedua-dua negara juga menggalakkan, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu apabila sebanyak 56,000 pelancong dari negara itu mengunjungi Malaysia pada tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun jumlah perdagangan kedua-dua negara tahun ini agak berkurangan, Malaysia dan New Zealand yakin ia adalah fenomena sementara dan dijangka meningkat semula menjelang 2010 berikutan pemulihan ekonomi global.

Najib berkata, New Zealand akan terus berperanan sebagai rakan yang kuat dalam Perjanjian Lima Kuasa Pertahanan (FDPA) yang turut disertai oleh Australia, United Kingdom, Singapura selain Malaysia.

Menjawab soalan, Najib berkata, Malaysia juga berminat untuk bekerjasama dengan New Zealand dalam bidang alam sekitar berdasarkan rekod cemerlang negara berkenaan dalam bidang itu.

“Bagi Malaysia, kami komited untuk membangunkan teknologi hijau dan saya sangat berminat untuk bekerjasama dengan New Zealand untuk menjayakan agenda alam sekitar yang lebih baik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Key berkata, pemeteraian FTA adalah titik tolak penting kepada hubungan kedua-dua negara.

“Malaysia adalah pasaran penting kepada New Zealand dan satu daripada lapan rakan niaga terbesar dan kita mengharapkan pelaburan yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya yang turut menjemput Najib membuat lawatan ke negaranya.

Beliau berkata, New Zealand menghargai hubungan dua hala dengan Malaysia, terutama dalam bidang pendidikan.

“Jumlah penuntut peringkat doktor falsafah (PhD) dari Malaysia di New Zealand agak ramai dan kita berharap hubungan diperluaskan lagi membabitkan bidang pelancongan,” katanya.
Sumber: Berita Harian

No comments: