KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Tuesday, April 6, 2010

RMK-10: DIRANGKA BERDASARKAN MODEL EKONOMI MODEN

RMK-10 Akan Dirangka Berdasarkan Model Ekonomi Moden
BUTTERWORTH, 30 Mei (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) akan dirangka berdasarkan model ekonomi moden bagi memastikan usaha memulihkan ekonomi negara berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata walaupun tempoh RMK-10 hanya akan bermula pada 2011, namun kerajaan telah memulakan perancangan awal pelan pembangunan ekonomi lima tahun itu untuk membina ekonomi yang mapan.

Anggota Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, antara tumpuan ekonomi moden itu ialah untuk mewujudkan lebih banyak industri yang boleh menjana pendapatan tinggi kepada rakyat dan sekali gus membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi pada masa akan datang.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Parlimen Tasek Gelugor, di sini, beliau berkata, selain menjana pendapatan yang tinggi, tumpuan juga harus diberikan kepada penggunaan kos pengeluaran yang lebih rendah.

"Ketika ini kerajaan telah mula merangka RMK-10 dan mendapatkan kelulusan kabinet supaya ia boleh dilaksanakan lebih awal dan apabila ekonomi dunia pulih kita sudah berada di landasan yang betul untuk melonjak kembali," katanya.

Nor Mohamed berkata, antara bidang yang dikenal pasti boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi moden itu ialah industri yang berasaskan pengetahuan, kemahiran, kreativiti termasuk industri pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, industri tradisi sedia ada seperti pembuatan dan perkilangan akan diteruskan dengan suntikan baru menerusi industri berasaskan pengetahuan bagi membolehkan ia menjana pendapatan yang lebih lumayan.

"Kita terima kegawatan ekonomi sekarang sebagai satu hikmah untuk menggerakkan negara ke arah ekonomi baru yang lebih berdaya maju dan segala pakej ransangan yang diberikan kerajaan selama ini sudah mula menunjukkan hasilnya," katanya.

Walaupun unjuran pertumbuhan ekonomi negara menguncup antara empat dan lima peratus, pelan meliberalisasikan 27 sektor ekonomi termasuk sektor kewangan sudah mula bertunas dan beliau yakin ekonomi negara beransur pulih pada enam bulan kedua tahun ini.

"Unjuran negatif itu tidak akan menjejaskan perancangan yang terdapat dalam RMK9 kerana setiap program itu sudahpun diberikan peruntukan khusus," katanya.

Nor Mohamed berkata, bagi menjayakan ekonomi moden, rakyat terutamanya pekerja yang telah diberhentikan kerja perlu mengambil peluang daripada skim latihan semula pekerja yang disediakan kerajaan.

Katanya, peningkatan tahap kemahiran dan pengetahuan pekerja mengenai bidang ekonomi baru amat penting supaya mereka dapat bersaing dan menjana pendapatan yang lebih baik.

"Memang kita tahu bahawa sambutan mereka terhadap program dan skim latihan semula pekerja itu tidak hebat tetapi mereka harus sedar bahawa kemahiran baru sangat diperlukan untuk mereka menghadapi cabaran baru ekonomi.

"Kadangkala, sesuatu musibah itu bukan selalu buruk tetapi ia memberi peluang dan ruang untuk kita menilai semula strategi yang ada untuk terus maju sejajar dengan perubahan semasa," katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

Shiqa Nawar said...

cayok2 cikgu fared..
kompom stpm PA smega A