KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, June 21, 2010

KEMPEN BARANGAN MALAYSIA RANGSANG SEKTOR SWASTA: PM

KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia dilancarkan kerajaan bukan usaha melindungi industri tempatan tetapi untuk memupuk syarikat tempatan menjadi

produktif, berani berinovasi dan berdaya saing sehingga menembusi pasaran antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yakin kempen itu akan merangsang sektor swasta ke arah kompetitif global dan rakyat dapat melihat kualiti produk tempatan yang setanding dari luar negara.

Berucap melancarkan Ekspo Beli Barangan Malaysia 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam, Najib percaya pengunjung yang melawat ekspo itu akan berasa bangga dan mungkin terkejut dengan banyaknya produk tempatan yang bermutu di pasaran.

Katanya, Ekspo barangan buatan Malaysia ini bukan hanya untuk menonjolkan produk tempatan yang semakin tinggi mutunya, tetapi juga bagi memupuk satu proses supaya syarikat tempatan meningkatkan produktivitinya, berani membuat inovasi dan berdaya saing.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ekspo dengan tema ‘Produk Malaysia Kebanggaan Kita’ akan berlangsung lima hari sehingga Ahad ini. Sebanyak 385 gerai pameran membabitkan 185 syarikat tempatan menyertai ekspo itu.

Najib mahu pengguna termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang ada kala lebih cenderung membeli barangan import, memberi rangsangan kepada syarikat tempatan untuk mengukuhkan tapaknya bagi melangkah ke pasaran eksport.

Jelasnya, tanpa pembelian daripada pasaran domestik, amat sukar bagi kita melangkah pasaran eksport walaupun ada satu dua syarikat yang anehnya sudah mendapat pasaran eksport tetapi tidak pasaran tempatan.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan aspek promosi, pembungkusan dan penjenamaan kali ini lebih baik daripada dulu, sekali gus pameran tahun kedua itu diyakini dapat menyumbang ke arah merangsang ekonomi tempatan dan mencapai hasrat Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Dalam konteks berkaitan, katanya, kerajaan berperanan sebagai pemangkin untuk membolehkan sektor swasta, khususnya domestik, melonjakkan peranan sebagai pemacu dan penggerak pertumbuhan ekonomi negara, secara langsung menjadikan Malaysia kompetitif pada peringkat global.

Najib berkata, untuk mencapai sasaran MBE dan RMKe-10 yang menetapkan pelabur swasta melabur RM115 bilion setahun dalam ekonomi, ia mesti disusuli tindakan bersifat membangunkan ekosistem secara keseluruhan.

Berita ini disunting daripada sumber: Berita Harian

No comments: