KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, August 2, 2010

PROGRAM BANDAR SELAMAT

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan Buku Panduan Bandar Selamat pada 26 Julai 2010 yang antara lain berdasarkan perakuan Lab NKRA iaitu mengurangkan jenayah. Program Bandar Selamat di Malaysia diwujudkan pada 2004. Buku 15 Langkah Bandar Selamat ini diterbitkan bagi menggantikan Edisi Keempat Program Bandar Selamat: Ilustrasi 23 Langkah Pencegahan Jenayah yang diterbitkan pada Mac 2008 oleh Urus setia Program Bandar Selamat, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebelum ini, Program Bandar Selamat 2004 disyorkan menjadi asas utama untuk mencegah jenayah jalanan. Program seumpama ini telah menunjukkan kejayaan di bandar-bandar lain di peringkat antarabangsa dalam mencegah jenayah jalanan secara keseluruhan. Pelancaran buku ini disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heungdi Kuala Lumpur.

Konsep Bandar Selamat di Malaysia mempunyai empat komponen utama iaitu:

i) Bandar yang bebas daripada keganasan seperti curi ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya yang menyebabkan kehilangan nyawa dan trauma, kerosakan harta benda dan sosial;

ii) Bandar yang bebas daripada bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh;

iii) Bandar yang bebas daripada kemerosotan sosial dan moral seperti penagihan dadah, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, integriti dan kerosakan moral; dan

iv) Bandar yang bebas daripada segala jenis kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kebakaran dan kemalangan jalan raya.

Program Bandar Selamat ini memberi fokus kepada pencegahan jenayah harta benda di kawasan bandar. Mengenai pelaksanaannya pula, ia diwujudkan kerana tahap kebimbangan orang ramai terhadap bilangan jenayah yang semakin meningkat di bandar-bandar di negara ini. Pelan pembangunan pekan dan bandar baru yang dirancang perlu mengambil kira aspek-aspek keselamatan. Pada 2004, kadar jenayah di Kuala Lumpur terutamanya jenayah ragut meningkat dan menyumbangkan kepada 18 peratus daripada indeks jenayah.

Secara puratanya, sebanyak sembilan kes dilaporkan setiap hari, dan peragut meraih sebanyak RM2,051 setiap kali meragut. Ia satu profesion yang sangat mudah dan lumayan di mata penjenayah. Sementara itu, kawasan pelancongan yang dikunjungi oleh pelancong antarabangsa contohnya Jalan Bukit Bintang dan KLCC merupakan kawasan sasaran peragut (The Malay Mail, 14 Mei 2004). Jenayah jalanan merangkumi samun berkawan tanpa bersenjata api, samun tanpa senjata api (individu) dan curi ragut. Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan keseluruhan indeks jenayah sebanyak lima peratus dan Jenayah Jalanan Negara sebanyak 20 peratus sebelum Disember 2010.

Antara langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan indeks jenayah adalah seperti berikut:

1. Pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor. Langkah ini boleh dilaksanakan melalui pilihan berikut:

# Penyediaan laluan pejalan kaki khusus;

# Penyediaan bollard;

# Penyediaan rel penghadang;

# Penyediaan tanaman landskap; atau

# Penyediaan laluan motosikal khas.

2. Pelaksanaan Reka Bentuk Persekitaran Yang Selamat (CPTED). Pelaksanaan CPTED akan dibantu oleh garis panduan berikut:

# Manual CPTED

# Garis Panduan Pencahayaan

# Garis Panduan Laluan Pejalan Kaki Khusus

# Garis Panduan Penanaman Landskap
turut melibatkan panduan Pelaksanaan Penyediaan Bollard dan Pengasingan Laluan Pejalan Kaki dan Laluan Bermotor, Garis Panduan Pemasangan CCTV di Premis Perniagaan dan Tempat Awam dan Manual Pelaksanaan Pemetaan GIS Jenayah Bandar.

3. Pemetaan GIS Jenayah dan Program Bandar Selamat.

4. Penyediaan balai polis tetap atau bergerak.

5. Penyediaan cermin keselamatan.

6. Penyediaan papan tanda peringatan jenayah.

7. Penyediaan penggera keselamatan.

8. Penyediaan tempat motosikal berkunci.

9. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perniagaan dan tempat awam.

10. Pencahayaan dilaksanakan di kawasan sasaran iaitu di tepi, hadapan dan belakang rumah atau bangunan dan di kaki lima premis perniagaan, tempat awam dan kawasan perumahan.

11. Laluan awam tidak terlindung dari pandangan awam. Langkah ini dilaksanakan melalui pilihan berikut:

# Membersihkan/mengemaskan kawasan-kawasan semak dan terlindung;

# Tidak membenarkan perniagaan dan meletak kenderaan di laluan pejalan kaki; atau

# Jejantas tidak terlindung dari pandangan awam.

12. Penjanaan aktiviti bersesuaian di kawasan yang terdedah dengan jenayah

13. Pendidikan kesedaran awam dan publisiti. Langkah ini dilaksanakan seperti berikut:

# Media massa seperti surat khabar, risalah, televisyen, radio, seminar, Internet atau pelancaran projek bandar selamat;

# Penyediaan papan iklan luar;

# Mewujud atau memperluaskan laman web PBT dengan memasukkan Program Bandar Selamat; dan

# Penyertaan awam dalam merancang dan melaksanakan langkah-langkah bandar selamat.

14. Meningkatkan rondaan di kawasan perumahan. Langkah ini dilaksanakan melalui pilihan berikut:

# Mewujud, menggerak dan mengaktifkan semula jawatankuasa atau persatuan penduduk seperti rukun tetangga; atau

# Mendapatkan khidmat pengawal keselamatan swasta.

# Data atau maklumat penduduk dan syarikat keselamatan swasta perlu diwujudkan bagi setiap kawasan perumahan.

15. Agenda tetap bulanan Mesyuarat Majlis Penuh PBT. Langkah dan tindakan diperlukan iaitu:

# Pelaporan status kadar jenayah dan keberkesanan pelaksanaan Program Bandar Selamat pada setiap bulan; dan

# Mengemukakan cabutan minit mesyuarat Penuh PBT kepada KPKT dan JPBD.

Bagi menjayakan program ini, orang ramai boleh mendapatkan maklumat menerusi hotline atau SMS polis, talian tol percuma bomba atau SMS bomba atau menghubungi terus seperti berikut;

# HOTLINE POLIS – SMS KE 32728

# TOL FREE BOMBA – 1 800 888 994

# SMS BOMBA – 03 - 8888 0964 (infoblast)

Usaha mencegah jenayah juga boleh dilibatkan bersama antara masyarakat dengan pihak polis melalui pendaftaran menjadi ahli Rakan Cop. Langkah berikut perlu diikuti bagi mereka yang ingin mendaftarkan diri sebagai Rakan Cop melalui kemudahan telefon bimbit:

Langkah 1:

Taip: RAKANCOP [negeri] DAFTAR [nama/pseudonym] hantar ke: 32728/DAPAT. Anda akan menerima nombor pendaftaran sebaik sahaja anda mendaftar. Nombor ini akan mengesahkan maklumat anda kepada pihak polis.

Langkah 2:

Menghantar maklumat kepada pihak polis: Taip: POLIS [negeri] [maklumat/aduan] hantar ke: 32728/ DAPAT maklumat lanjut di: http://www.rakancop.net. Selain daripada itu orang ramai juga boleh menghubungi terus hotline Ibu Pejabat Kontigen (IPK) berikut:

# KUALA LUMPUR – 03 2115 9999

# SELANGOR – 03 2052 9999

# PERLIS – 04 971 1999

# KEDAH – 04 739 2999

# PULAU PINANG – 04 269 1999

# PERAK – 05 240 1999

# MELAKA – 06 285 1999

# NEGERI SEMBILAN – 06 768 2222

# JOHOR – 07 221 2999

# TERENGGANU – 09 627 0499

# KELANTAN – 09 745 0999

# PAHANG – 09 515 1999

# SABAH – 088 318 555

# SARAWAK – 082 240 800

Sumber:



Artikel ini dikeluarkan oleh Unit Komunikasi

Korporat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih untuk maklumat ini :)