KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Thursday, February 10, 2011

DPN PENUHI KEPERLUAN ASAS RAKYAT

PUTRAJAYA: Usaha kerajaan bagi memastikan rakyat menikmati tempat tinggal yang selesa selain mampu dimiliki diperkukuhkan dengan penyediaan Dasar Perumahan Negara yang akan dijadikan satu dokumen komprehensif melihat hala tuju sektor perumahan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar itu melengkapkan usaha kerajaan yang sebelum ini melaksana dan mengawal selia pembangunan sektor perumahan melalui pelbagai dasar, akta dan perundangan sedia ada melalui agensi berkaitan.


Beliau berkata, dasar itu digubal dengan mengambil kira semua dasar dan perundangan bagi mewujudkan satu dokumen yang komprehensif sebagai rujukan utama dalam menetapkan hala tuju sektor perumahan negara. “Dasar ini bagi memenuhi keperluan asas rakyat dengan menyediakan tempat tinggal selesa dan mampu dimiliki bagi memperkasakan pilihan dan autonomi rakyat.

“Malah, hasilnya nanti, kerajaan akan terus berjaya melahirkan masyarakat serta komuniti yang maju, progresif dan lestari,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Dasar Perumahan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.


Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, timbalannya Datuk Seri Lajim Ukin dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abu Bakar Hassan.


Muhyiddin berkata, buat masa ini, dua cabaran utama berkaitan sektor perumahan yang dikenal pasti adalah penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi bagi pelbagai segmen masyarakat dan keperluan rumah serta persekitaran yang selamat, sihat selaras dengan status ekonomi negara.


Oleh itu, katanya, bagi mendepani cabaran itu, kerajaan memberi tumpuan terhadap strategi utama termasuk memperkemaskan sistem penyediaan dan pengagihan perumahan mampu milik; memperkukuhkan usaha menyediakan perumahan berkualiti tinggi dan persekitaran mapan dan memupuk industri perumaha sihat dan mapan.


“Kerajaan cukup prihatin terhadap keupayaan rakyat memiliki rumah dan memperbaiki akses kepada penyewaan rumah.

“Peranan kerajaan dan swasta perlu saling melengkapi bagi menyediakan keperluan perumahan dengan mengambil kira faktor seperti kemampuan pembeli, kos pembangunan dan harga jualan semasa,” katanya.


Muhyiddin berkata, beliau yakin dasar itu sudah mengambil kira keperluan pelaksanaan konsep teknologi hijau dan lebih menggalakkan penggunaan sumber dan tenaga yang cekap dalam industri pembinaan perumahan serta persekitarannya.


Oleh itu, katanya, konsep pembangunan mapan bukan lagi sesuatu yang menjadi pilihan sebaliknya ia adalah satu kemestian bagi pembangunan industri perumahan negara ini dan bagi kepentingan generasi sekarang dan masa depan.


“Dasar ini juga menekankan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan dan dalam hal ini, pematuhan terhadap semua perundangan dan peratuan berkaitan dengan perumahan amat penting bagi memastikan projek perumahan disiapkan mengikut tempoh dan peraturan ditetapkan,” katanya.

No comments: