KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, June 20, 2011

Kawal perosak dengan biopestisid

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini memperkenalkan produk teknologi biopestisid berasaskan virus.

Rumusan tindak balas virus dikenali sebagai Nukleupolihedrosis (NPV) itu berupaya mengawal serangan ulat ratus spodoptera litura pada tanaman sayur-sayuran, buah-buahan organik dan juga orkid.

Di samping itu, penggunaan produk tersebut juga secara tidak langsung dapat membantu para petani mengurangkan kebergantungan terhadap racun perosak.

Secara asasnya, virus NPV mentah mempunyai ciri-ciri seperti jangka hayat yang singkat, mudah terurai dengan sinaran ultraungu (UV) dan perlu disejukbekukan.

Namun, melalui kajian MARDI yang menghasilkan rumusan NPV dalam bentuk serbuk menerusi alat pengering semburan, penggunaannya ke atas ulat ratus dilihat memberi kesan sangat baik.

Bagi memastikan rumusan berkenaan mempunyai ketahanan jangka hayat dan dapat disimpan lebih lama, ia turut dicampurkan bersama material semulajadi lain.

Menurut Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Siti Noor Ashikin Abdul Hamid, kajian rumusan NPV itu dilaksanakan sejak tahun 2008 menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

''Ujikaji keberkesanan rumusan NPV ini dijalankan selama 12 bulan dalam persekitaran makmal dan rumah hijau sebelum dibuat di lapangan secara meluas pada tahun ini.

''Daripada segi penggunaan, serbuk NPV perlu dilarutkan di dalam air pada kadar tertentu sebelum disembur pada permukaan atas dan bawah daun tanaman.

''Produk NPV ini pernah digunakan di ladang bendi, sawi dan cili di sekitar Sekinchan dan Puchong selain di ladang organik MARDI,'' katanya.

Pelancaran produk tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum di Ibu Pejabat MARDI Serdang, baru-baru ini. Turut hadir , Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman

Untuk kos penggunaan NPV per hektar, ia dianggarkan berjumlah sekitar RM50 hingga RM140 berbanding penggunaan bahan kimia pembunuh serangga iaitu antara RM70 hingga RM200 sehektar.

Untuk pasaran pula, NPV mempunyai potensi kerana keberkesanannya menghapuskan perosak tanaman.

Sempena pelancaran teknologi itu juga, MARDI telah memeterai memorandum persefahaman dan perjanjian dengan syarikat All Cosmos Industries Sdn. Bhd. untuk kerjasama kajian penyatuan bakteriofaj dalam baja bioorganik dan baja biokimia bagi mengawal penyakit tumbuhan tomato serta buah naga.

No comments: