Kuala Lumpur: Lebih 600,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan berdepan masalah jika gaji minimum RM1,100 yang dicadangkan pakatan pembangkang dalam belanjawan alternatifnya dilaksanakan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
|
Beliau berkata, ia adalah cadangan yang tidak bertanggung jawab dan akan memusnahkan industri perkilangan dan PKS tempatan yang kebanyakannya dipelopori di kawasan luar bandar.
Katanya, negara kini mempunyai 600,000 syarikat PKS yang menjadi tempat mencari rezeki hampir enam juta pekerja atau mewakili 50 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.
PKS ini mempunyai ramai pekerja dengan kebanyakannya bergaji RM600 hingga RM700. Bila kerajaan nak naikkan RM900 mereka sudah pening kepala. Jika naik RM1,100 habis lingkup banyak PKS nanti. Ramai yang menganggur dan menimbulkan masalah lain pula.
Tambahnya, ini bukan perkara main-main, mungkin bagi mereka ia satu cadangan yang diminati tetapi dengan keadaan ekonomi dunia yang mencabar dan banyak negara bergelut dengan kemelesetan, cadangan belanjawan alternatif itu tidak bertanggungjawab dan berisiko besar kepada industri dan pekerja.
Katanya pada sidang media selepas majlis memeterai Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan (IGA) antara Malaysia dengan San Marino di Kuala Lumpur, mereka seharusnya berbincang dulu dengan PKS sebelum menghebahkannya kerana kerajaan sendiri melaksanakan perbincangan secara terperinci dan berhati-hati dengan pekerja dan majikan selama hampir setahun sebelum melaksanakan gaji minimum RM900.
Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak kementerian; manakala San Marino pula diwakili Dutanya ke Malaysia, Mauro Montanari.
No comments:
Post a Comment