KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Tuesday, July 14, 2009

DASAR BUKU NEGARA: PERLU KAJIAN SEMULA

Dasar Buku Negara yang diperkenalkan pada 1985 bagi menggariskan pendekatan menyeluruh membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat di negara ini perlu dinilai semula.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan supaya dasar itu dapat dimantapkan, selaras dengan tahap literasi masyarakat Malaysia yang sudah meningkat ketika ini.

Katanya, mengikut perangkaan Jabatan Statistik Negara 2008, kadar literasi rakyat Malaysia pada kelompok umur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus.

"Data itu menunjukkan Malaysia berada dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar literasi tinggi walaupun ia masih berada di belakang negara maju seperti Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jerman mencatatkan kadar literasi 99 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 dan Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom yang juga Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kadar literasi rakyat Malaysia tidak signifikan dengan amalan dan tabiat membaca kerana ia masih rendah dan rakyat hanya membaca bahan terpilih saja.

"Bagi kumpulan umur 10 tahun dan ke atas, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar, manakala tiga peratus membaca majalah, tiga peratus lagi membaca buku dan 1.6 peratus membaca komik.

"Jika dibandingkan dengan AS, 53 peratus rakyat negara itu membaca buku fiksyen dan 43 peratus membaca buku bukan fiksyen. Perbandingan jelas menunjukkan bahawa rakyat negara ini masih cenderung membaca bahan ringan berbanding rakyat negara maju yang lebih gemarkan bahan bacaan dalam bentuk buku," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha mengembangkan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini mesti dilihat sebagai satu agenda nasional bersepadu dengan proses pembinaan negara, bangsa dan pembangunan modal insan bukannya menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran semata-mata.

Sementara itu, Muhyiddin meminta industri penerbitan buku tempatan mengangkat pengkaryaan ke tahap lebih tinggi dengan menggunakan kreativiti dan inovatif.

Beliau juga menyeru pelabur baru dalam perusahaan buku, terutama penerbitan, meneroka pasaran baru di luar negara khususnya penerbitan buku remaja dan kanak-kanak.

Sementara itu, Wee diminta mengulas mengenai penilaian Dasar Buku Negara itu, berkata, ia penting supaya dasar itu relevan dan sesuai dengan perkembangan dan perubahan masyarakat serta negara, tambahan pula dasar itu sudah berusia 24 tahun.

No comments: