SETIAP pelajar mempunyai tahap pencapaian akademik yang berbeza-beza iaitu cemerlang, sederhana dan tidak kurang pula yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Bagi pelajar yang mencapai keputusan yang sangat cemerlang, misalnya memperoleh 10A atau lebih, mereka lebih mudah untuk berjaya mendapat tempat melanjutkan pengajian ke prauniversiti atau matrikulasi sama ada dalam atau luar negara.
Tetapi, bagi yang mendapat keputusan yang sederhana atau gagal janganlah beranggapan bahawa masa hadapan anda telah kabur atau hancur.
Sebenarnya, banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menebus kekurangan atau kegagalan masa lepas.
Di ruangan kali ini saya akan memberi panduan kepada pelajar yang mendapat kelulusan SPM yang sederhana dan gagal ataupun kepada yang tidak mendapat sebarang tempat di peringkat Asasi Sains Universiti Malaya (UM), matrikulasi atau prauniversiti walaupun keputusan SPM mereka layak untuk berbuat demikian.
Gagal mendapat tempat di universiti dan lulus sederhana
Pelajar yang gagal mendapat tempat di universiti atau memperoleh keputusan sederhana (memperoleh keputusan antara cemerlang dan gagal) boleh memohon memasuki maktab-maktab perguruan, Kementerian Pelajaran sekiranya berminat untuk menjadi guru.
Bagi pelajar yang lebih cenderung kepada bidang teknikal dan kemahiran, Kementerian Pengajian Tinggi melalui 20 politeknik menawarkan pengajian di peringkat sijil dan diploma; manakala 34 kolej komuniti menawarkan pengajian di peringkat sijil.
Prauniversiti
Pelajar juga boleh mengikuti pengajian di peringkat prauniversiti atau diploma di universiti dan kolej-kolej swasta yang kini berjumlah lebih 500 buah di seluruh negara. Universiti dan kolej tersebut menawarkan pelbagai bidang pengajian yang mungkin bersesuaian dengan minat dan kelulusan pelajar.
Selain itu, pelajar boleh meneruskan pengajian ke tingkatan enam dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Atau, pelajar juga boleh menduduki semula peperiksaan SPM. Mungkin pelajar akan memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pilihan-pilihan yang dinyatakan di atas sebenarnya adalah peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam atau pun swasta pada masa hadapan. Ini kerana universiti masih menerima calon-calon yang mempunyai sijil atau diploma serta pengalaman kerja di bidang berkaitan dengan kursus yang dipohon di peringkat sarjana muda kelak.
Bagi yang sangat berminat dengan ilmu kemahiran, para pelajar juga boleh memohon memasuki institusi latihan kemahiran anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran.
Dengan berbekalkan sijil kemahiran tersebut, ia dapat memudahkan pelajar mencari dan mendapatkan pekerjaan berbentuk kemahiran dalam bidang berkaitan dengan kelulusan pelajar kelak.
Para pelajar yang meminati bidang keusahawanan boleh memohon mengikuti kursus atau program keusahawanan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU).
Minat serta keazaman yang mendalam mampu membawa pelajar untuk lahir sebagai seorang usahawan yang berjaya pada masa hadapan.
Pelajar juga boleh memilih untuk menceburi terus bidang pekerjaan mengikut kelulusan dan minat masing-masing sama ada di sektor awam atau swasta.
KELULUSAN YANG SANGAT RENDAH ATAU GAGAL
Para pelajar dalam kumpulan ini seharusnya tidak kecewa atau berputus asa, sebaliknya, jika pelajar mempunyai minat dan kecenderungan dalam aspek kemahiran, pelajar boleh mengikuti latihan kemahiran melalui institusi-institusi anjuran Mara, KBS dan KSM menggunakan sijil SPM/SPMV atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Pelajar juga boleh memasuki bidang keusahawanan anjuran KPU sebelum menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.
Selain itu, pelajar boleh bekerja di sektor awam atau swasta menggunakan sijil PMR.
Bagi yang ingin terus belajar, pelajar boleh mendaftar di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mengulangi dan memperbaiki keputusan peperiksaan SPM. Kegagalan masa lalu dapat ditebus sekiranya pelajar tekun dan bersungguh-sungguh belajar.
Maklumat mengenai peluang-peluang yang dinyatakan di atas boleh diperolehi dari semasa ke semasa di akhbar-akhbar utama termasuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia atau melayari laman web universiti atau institusi tersebut di Internet.
Jelaslah, di sini bahawa pelajar mempunyai banyak pilihan untuk difikirkan dalam menentukan kerjaya dan masa hadapan masing-masing walaupun keputusan SPM yang diperolehi kurang cemerlang atau gagal.
Anda, walaupun tidak berpeluang untuk melangkah ke menara gading yang menjadi idaman setiap orang bernama pelajar, namun anda juga mempunyai haluan lain yang boleh membawa kejayaan pada masa hadapan asalkan tahu bagaimana untuk merebut peluang yang berada di depan mata.
Sesungguhnya, kejayaan masa hadapan adalah hasil keputusan yang betul pada hari ini. Renungkanlah, Fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment