KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, November 2, 2009

Kajian Semula Dasar Automotif Nasional

automotif2

HASIL kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) akan diumumkan minggu ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

“Dua tiga hari lagi saya akan umumkan. Esok (hari ini), kita akan pastikan bila (tarikhnya),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kemuncak Program Kualiti dan Inovasi Miti di Kuala Lumpur, semalam.

Baru-baru ini, beliau berkata, hasil kajian semula dasar itu mungkin akan diumumkan selewat-lewatnya awal bulan depan.


Sebelum itu, hasil kajian semula NAP dijangka diumum pada September lalu tetapi ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

NAP, yang diperkenalkan pada 2006, membabitkan tidak kurang 150,000 orang dalam bidang pengeluaran, jualan, pengedaran dan pembiayaan kereta di negara ini.

NAP baru itu akan mempunyai dasar lebih jelas untuk masa depan Proton dan syarikat lain termasuk pengilang komponen, vendor dan pengedar.
Mustapa berkata, sebahagian hasil kajian semula dasar itu sudah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu.

Ia berkaitan untuk mengenakan RM10,000 ke atas pemegang Permit Import (AP) terbuka bagi setiap AP yang dijual.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pelaburan domestik tahun depan bagi mengimbangi sumbangan pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan domestik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, justeru, lebih banyak perhatian akan diberikan kepada syarikat tempatan yang mahu melabur dalam negara, sejajar ucapan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2010 yang mahukan negara mewujudkan suasana mesra pelabur.


Katanya, ketika ini kira-kira 70 peratus tumpuan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) adalah kepada usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan hanya kira-kira 30 peratus untuk menggalakkan pelaburan domestik.

“FDI penting, tetapi kita juga perlu beri perhatian terhadap pelaburan domestik untuk wujudkan persekitaran yang baik. Tahun depan kita akan mengimbanginya untuk menjadikan nisbahnya 50:50,” katanya.

Mustapa berkata, selain tumpuan untuk mengimbangi pelaburan domestik dan FDI, tumpuan utama kerajaan tahun depan juga ialah untuk memperhebatkan promosi perdagangan ke pasaran baru khususnya di Amerika Latin dan negara bekas Kesatuan Soviet.

Beliau berkata, negara bekas Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Kazakhstan dan Tajikist serta negara Amerika Selatan seperti Brazil kini hanya mempunyai perdagangan yang kecil dengan Malaysia tetapi memiliki potensi yang besar.

“Fokus kita adalah untuk memperhebatkan promosi perdagangan ke negara itu tahun depan, selain memantapkan pasaran tradisi,” katanya.


Sumber: Berita Harian

No comments: