KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Thursday, February 18, 2010

HUKUMAN SEBAT DALAM PERUNTUKAN NEGERI

KUALA LUMPUR: Semua negeri mempunyai peruntukan hukuman sebat mengikut akta, enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah tetapi hanya Kelantan pernah melaksanakan hukuman itu terhadap 10 pesalah sejak Undang-Undang Kaedah Hukuman Sebat Kelantan dikuatkuasakan pada 1987.

Pesalah yang disabitkan di negeri lain hanya dijatuhkan hukuman penjara dan denda walaupun kesalahan mempunyai peruntukan hukuman sebat.

Di KOTA BHARU; Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad, berkata hukuman sebat dilaksanakan pegawai khas yang dilantik Mahkamah Syariah selepas prosiding peringkat Mahkamah Rayuan Syariah berakhir jika pesalah merayu terhadap hukuman.

“Hukuman sebat pertama dilaksanakan pada 7 Januari 1987 membabitkan kesalahan mukadimah zina terhadap seorang lelaki. Cuma ketika itu, hukuman sebat tidak digembar-gemburkan.

"Hukuman berjalan hingga kini dan kali terakhir pada 2004 terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah minum arak. Hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah di negeri ini dijalankan di Penjara Pengkalan Chepa," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Johor, Mohd Nooh Kadri, berkata Johor mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman sebat tetapi belum ada pesalah pernah menjalani hukuman itu.

Katanya, enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan sehingga enam sebatan untuk kesalahan menyampaikan doktrin palsu, melakukan perbuatan berlawanan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah (lesbian).

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Johor pernah menjatuhkan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah syariah pada akhir 1990-an tetapi tidak dilaksanakan selepas pesalah terbabit membuat rayuan.

Di KANGAR, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mempunyai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebat terhadap pesalah minum arak dan benda memabukkan mengikut Seksyen 24(1) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.

Pengarah Jaips, Malik Hussin, berkata setakat ini belum ada pesalah kes itu dikenakan hukuman berkenaan.

Di ALOR SETAR, jurucakap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), berkata pihaknya belum memperuntukkan hukuman sebat kerana hukuman yang dikenakan hanya membabitkan denda dan penjara.

Di MELAKA, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan setakat ini belum ada rakyat di negeri itu menjalani hukuman disebat mengikut undang-undang syariah.

"Bagaimanapun jika Mahkamah Syariah Melaka hendak melaksanakannya, saya tidak ada halangan dan tambahan pula sebatan banyak dilakukan pelbagai pihak.

"Kadang-kadang di sekolah kalau nakal pun kena sebat, inikan pula orang Islam yang sudah melanggar hukum syariah,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Zakaria Semela, berkata hukuman sebat diperuntukkan dalam dua enakmen berkaitan jenayah syariah di Sabah.

Katanya, dua enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sabah 2004.

"Bagaimanapun, kes pendakwaan yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut enakmen itu belum pernah merangkumi sebatan, sebaliknya hanya denda dan penjara," katanya.

No comments: