KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Tuesday, February 16, 2010

PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

KUALA LUMPUR: Pelan induk pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang berkaitan dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dijadual dilancarkan Datuk Seri Najib Razak, di ibu negara hari ini.


Pelan itu susulan janji Perdana Menteri untuk membawa perubahan lebih ketara bukan saja kepada ekonomi dan sosial, malah sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam kerajaan supaya lebih berupaya untuk memajukan negara.

Naskhah 261 halaman Pelan Hala Tuju GTP itu disiapkan hasil kerja kira-kira 12 bulan dan boleh diakses orang ramai. Ia merangkumi kajian dan hasil mengenal pasti jurang serta permasalahan yang perlu ditangani menerusi tindakan segera kerajaan.

Kenyataan media Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri semalam menyatakan, pelan induk yang diilhamkan serta mendapat sentuhan Najib itu adalah pendekatan agresif kerajaan bagi mencapai maksud perubahan yang cekap dan berkesan.

Pada masa sama, kerajaan melalui Majlis Penasihat Ekonomi Negara menyiapkan Model Baru Ekonomi Malaysia, manakala Unit Perancang Ekonomi merangka pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RM-10). Kedua-dua rancangan itu akan dilaksanakan tahun ini.

Pelan itu turut mengandungi perincian pendekatan unik kerajaan membina masyarakat berteraskan semangat 1Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen enam NKRA yang dipilih dengan teliti sebagai asas keutamaan rakyat
dalam merealisasikan slogan Rakyat Didahulukan. Ia juga memperincikan kaedah yang akan digunakan bagi memastikan komitmen kerajaan disampaikan dengan jaya dalam mencerminkan slogan Pencapaian Diutamakan.

GTP diperkenalkan pada April 2009 dengan dua matlamat utama iaitu perubahan secara signifikan supaya lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatannya dan boleh dipertanggungjawabkan. Ini untuk menggerakkan Malaysia ke arah lebih maju, bersatu, saksama dan rakyat menikmati tahap kehidupan yang tinggi. GTP juga sejajar misi nasional untuk mencapai Wawasan 2020 yang meletakkan matlamat Malaysia menjadi negara maju.




Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments: