KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Monday, May 17, 2010

25 SETIAP KELAS

KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban

tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.

Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

Katanya semalam berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

Tambahnya bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Katanya ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah.



Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments: