KLIK SINI

PENGUMUMAN

ASSALAMUALAIKUM,
KEPADA SEMUA PELAWAT BLOG CIKGU. BAHAN-BAHAN BAGI PENGAJIAN AM MODULAR, PENGAJIAN KERTAS 1 DAN KERTAS 2 TELAH CIKGU SELIAKAN DALAM BLOG KHAS. SILA KLIK PADA BLOG KHAS PENGAJIAN AM. SEKIAN, TERIMA KASIH

Thursday, July 14, 2011

PERKHIDMATAN SYARIAH


najib_syariah


DATUK Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan mengukuhkan prasarana industri pengurusan dana Islam dengan menyediakan kemudahan aliran rentas sempadan untuk produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta meningkatkan pertumbuhan bidang aktiviti bernilai tinggi.

Perdana Menteri berkata, untuk itu kerajaan akan memberi fokus kepada perkhidmatan berasaskan syariah dan bukan sekadar patuh kepada perkhidmatan berkenaan dalam usaha menarik modal insan berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, beliau mengajak industri pengurusan dana United Kingdom (UK) membantu membina industri pengurusan dana Islam sejajar dengan peningkatan pengurusan pelaburan Islam global hari ini. Kita mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan masyarakat pengurusan dana global. Bagi industri pengurusan pelaburan Islam, ia membabitkan terjemahan konsep seperti perkongsian risiko dan tanggungjawab sosial serta etika pelaburan dalam operasi komersial.

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia mempunyai ekonomi yang luas dan pelbagai untuk membina pasaran modal dan sejak sekian lama, syarikat kecil dan sederhana dalam industri pertanian, sumber asli, perkilangan dan perkhidmatan menyediakan banyak peluang menarik untuk pelaburan jangka panjang. Katanya, dalam tempoh 10 tahun, 241 syarikat awam berhad (PLC) mencapai pertumbuhan modal pasaran lebih 10 peratus setiap tahun.
Najib juga berkata, Malaysia adalah ‘rumah’ kepada perbankan Islam dan pasaran kewangan dunia serta sebuah negara pasaran modal paling komprehensif di Asia, selain pasaran ekuiti dan sekuriti kerajaan berbanding 10 tahun lalu. Hari ini gabungan pasaran ekuiti dan hutang meningkat daripada AS$240 bilion pada 2000 kepada AS$667 bilion pada 2010 dan dijangka meningkat tiga kali ganda antara AS$1.5 trilion dan AS$1.9 trilion pada 2020.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan lima hari yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau juga berucap pada majlis sambutan oleh Datuk Bandar London, Alderman Michael Bear di Manson House. Selain itu, Najib melawat Stesen Keretapi Antarabangsa St Pancras, disambut oleh Setiausaha Negara bagi Pengangkutan, Philip Hammond serta perbincangan meja bulat dengan syarikat kereta api UK yang memberi fokus kepada pembinaan dan kemajuan kereta api.

Najib kemudian menemui Setiausaha Negara Bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, William Hague. Beliau dan isteri juga menghadap Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri David Cameron di No 10, Downing Street.

Ketika berucap di Manson House, Perdana Menteri meyakinkan pelabur UK bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) akan meningkatkan peranan sektor swasta dan menjadikan Malaysia sebagai tempat menarik pelabur global.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha mengetepikan halangan kepada pelabur, sebaliknya meningkatkan insentif dan mewujudkan persaingan serta memperbaiki persekitaran perniagaan, tetapi paling penting mengimbangi peranan sektor awam dan swasta kerana dalam dunia moden, peranan kerajaan adalah untuk menyokong perniagaan dan bukan menyusahkan.

Sementara itu, pada majlis perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Malaysia dan UK turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bermatlamat membanteras jenayah merentas sempadan.

Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, manakala UK diwakili Setiausaha Kementerian Luarnya, Teresa May.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis jamuan petang yang dihoskan Hague.
Disunting Daripada Berita Harian

No comments: